Negara maju menganiaya orang asli Hutan_tropika

Kita sering dituduh tidak berperikemanusiaan terhadap orang asli. Mereka menuduh kerajaan di negara-negara sedang membangun tidak memperdulikan kehidupan orang asli. Sering kali tersiar berita orang asli ditangkap, dibunuh, para pejuang orang asli diseksa dan sebagainya oleh kerajaan-kerajaan negara membangun. Apabila tersiarnya berita-berita seumpama itu, maka tergambarlah pada kaca mata orang luar dan orang tempatan sendiri betapa kejamnya para pemerintah di negara-negara sedang membangun.

Ada orang Asli yang diusir daripada tanah mereka bagi kepentingan diri . Kerajaan setengah-setengah negara cuba menghalang tetapi banyak yang mendiamkan diri. Ini kerana kerajaan sendiri menyokong rancangan untuk membuka kawasan hutan dan memodenkan orang Asli.

Apa yang sebenarnya berlaku adalah sebaliknya. Kerajaan tidak dapat membiarkan begitu sahaja orang Asli hidup di dalam hutan . Mereka juga berhak untuk menikmati pembangunan. Orang Asli memang memerlukan pembangunan dan pembangunan itu tidak dapat diberikan secara percuma sahaja.

Apakah orang Asli mendakwa mereka tidak memerlukan pakaian, air, elektrik , kehidupan yang lebih baik . Tentu sekali mereka memerlukan pakaian. Mereka memerlukan api untuk memasak dan pilihan yang terbaik ialah elektrik. Mereka perlukan air kerana sampai bila mereka harus bergantung kepada sumber air semulajadi. Dalam pada itu mereka memerlukan rumah yang selesa. Mereka perlukan jalanraya agar memudahkan mereka menghantar anak mereka ke hospital jika sekiranya anak mereka sakit.

Apakah pembangunan yang diberikan oleh kerajaan itu tidak adil. Apakah membiarkan orang asli di hutan yang penuh dengan penyakit, kekurangan zat makanan, ketiadaan air dan elektrik itu dikatakan adil ?

Dalam proses pembangunan ini, pelbagai rancangan diatur dan diselia.

Selalunya orang Asli mendapat keutamaan apatah lagi yang melibatkan pendidikan. Di Malaysia orang Asli dibantu dari semua segi melalui Jabatan Hal Ehwal Orang Asli.

Memang benar dakwaan hutan ditebang untuk membina jalanraya , membina kawasan pertanian baru dan membina kawasan empangan yang besar. Dakwaan bahawa orang bandar yang datang ke kawasan orang Asli telah menyebarkan penyakit-penyakit orang bandar mungkin ada kebenarannya. Contohnya ialah penyakit cacar ,selesema dan campak. Tetapi dakwaan itu tidak 100 % benar dan memerlukan kajian yang lebih mendalam. Apakah tanpa kedatangan orang bandar, mereka sihat wal'afiat tinggal di dalam hutan. Saya menjangka semua orang akan menjawab " tidak"

Selain itu orang Asli digalakkan menukar agama mereka. Perkara ini tidak dapat dielakkan. Sesuatu tamadun itu akan bertembung di antara satu dengan yang lain. Masing-masing akan mendakwa bahawa tamadun mereka lebih mulia dan lebih rasional. Semua ini akan bergantung kepada masa dan akhirnya tamadun yang utuh, relevan dan fleksival akan terus berkekalan.

Pertanian pindah

Sebenarnya negara maju tidak sedar bahawa seperempat kegiatan penebangan hutan dilakukan oleh orang asli. Jika sekiranya kegiatan orang asli yang primitif ini dibiarkan maka seluruh hutan yang masih ada yang akan musnah.

Rogelio A Maduro menyatakan bahawa kayu ditebang untuk memasak. Sejumlah 20 hingga 25 peratus lagi kegiatan menebang hutan adalah akibat dari pertanian primitif iaitu 'tebas dan bakar.'

Bagi menangani masalah ini adalah lebih baik memajukan kehidupan primitif orang asli ini. Selagi ada orang yang menggunakan pembakaran hutan sebagai punca utama kesuburan tanah , selagi itulah hutan akan jadi mangsa.

Orang asli akan menebang hutan bagi mmendapatkan kawasan tanah yang subur. Apabila kesuburan tanah berkurangan , mereka berpindah ke tempat yang lain pula. Kitalah yang salah jika kita tidak memberi mereka peluang untuk menukar cara pertanian primitif ini.

Selain itu selagi ada orang yang mengunakan kayu bagi memasak makanan mereka dan mengeluarkan haba, kegiatan menebang hutan akan berterusan. Adalah lebih baik kita menyokong usaha kerajaan membina logi tenaga nuklear, membina ermpangan hidro elektrik dan sebagainya.

Penan dan Gerakan Pencinta Alam

Kaum Penan seramai 10,000 orang mendapat simpati berbanding 26 juta rakyat Malaysia yang lain. Mengapa mereka tidak menunjukkan simpati kepada orang asli di Australia, orang Maori di New Zealand dan orang Red Indian di benua Amerika.

Pencinta alam barat bersama dengan Bruno Manser mendakwa orang Penan di Sarawak hendaklah dibiarkan meneruskan cara hidup tradisional mereka, tanpa pemodenan dan pembangunan dan tanpa kemajuan kebendaan lain. Soalnya adakah tindakan ini merupakan jalan penyelesaian paling bijak dan bersesuaian dengan penemuan saintifik ?.

Apa yang pasti Bruno bertanggungjawab menyebabkan orang Penan kembali ke Zaman Batu.

Kini orang Penan menjadi militan, membantah, mengadakan sekatan , menentang pihak-pihak berkuasa seperti polis, tentera , majlis kemajuan daerah, kerajaan negeri dan sebagainya.

Sebenarnya kaum Penan mendapat layan istimewa dari Kerajaan Negeri Sarawak dan Kerajaan Malaysia. Kini hanya tinggal 400 orang Penan tinggal di dalam hutan dengan kegiatan memburu dan mengamalkan pertanian pindah. Sebuah kawasan di Baram , Sarawak telah diisytiharkan kepada kawasan rezab biosfera. Malangnya pencinta alam mendakwa kawasan seluas itu tidak mencukupi. Sebaliknya mereka mahu seluruh Malaysia diisytiharkan sebagai kawasan rezab Biosfera.

Ada yang mengatakan biarkan orang Penan hidup bercawat di dalam hutan kerana mereka merupakan bahan artifak yang paling berharga untuk dikaji. Nampaknya orang Penan ini hendak dijadikan ' barangan pameran bernyawa' seperti di muzium.

Bagi mengekalkan keaslian kehidupan primitif dan kuno ini, maka cara hidup mereka hendaklah dikekalkan. Apakah mereka mahu rakyat Malaysia kembali ke zaman batu ? dan membiarkan sahaja orang barat melawat kita sebagai 'Manusia Zaman Batu'.

Ada juga yang mendakwa orang barat beriya-iya menentang membangunkan kehidupan Penan dan lain-lain dengan niat agar agama Islam tidak tersebar. Selama ini agama Kristian dapat hidup subur di Sabah iaitu di kalangan Kadazan kerana mereka dibiarkan oleh kerajaan.Jika mereka dimajukan oleh kerajaan, agama yang berkembang nanti adalah agama Islam

Ketika para pencinta alam menentang pembalakan di kawasan tropika, satu perkara yang disembunyikan ialah 60 % hutan ditebang untuk dijadikan kayu api. Ia amat meluas di negara-negara yang miskin seperti India, Bangladesh , Brazil dan lain-lain. Perangkaan dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menunjukkan 83 % kayu yang ditebang di negara-negara di dunia ketiga digunakan sebagai kayu api.

Apakah kita sanggup membiarkan penduduk miskin terus memasak makanan menggunakan kayu api. Sepatutnya pencinta alam ini memberikan pilihan alternatif. Sekurang-kurangnya mereka mengesyorkan kepada kerajaan negara maju agar menurunkan harga dapur gas, harga barangan elektrik dan sebagainya. Tidaklah keterlaluan jika kita katakan negara maju ingin menjajah sekali lagi melalui isu 'hijau'.